Chin Peng yang merdeka
Itulah pendapat saya tentang Si Chin Peng ini; Merdeka. Memang teman tak berapa gemar sangat dengan Chin Peng ni, tapi ada juga nilai-nilai dalam perjuangan dia yang kita boleh ambil jadi tauladan. Teman tak mahu jadi macam Pemuda Umno, Rais, Hishamuddin dan kutu-kutu kaki bodek yang bersepah-sepah dalam UMNO yang bulat-bulat mengutuk si Chin Peng ni tanpa memberi peluang kepada dia untuk membela diri. Terima kasih kepada Lim Kit Siang kerana membangkitkan isu ini kerana sekurang-kurangnya ada peluang untuk teman bersuara tentang isu kemerdekaan ini.
Pada zaman penjajahan Jepun di Malaya, semua hamba Allah di Malaysia ni tahu yang orang-orang persendirian yang berkumpulan (Pahlawan Melayu, bukan Hang Tuah), Chin Peng dan anak buahnya adalah antara kumpulan yang paling berani melawan dan menentang Jepun. Semakin masa berlalu, terdapat juga anak Melayu yang menyertai Chin Peng untuk menentang Jepun, dan kita semua tahu ianya dengan bantuan dari British secara senyap-senyap. British membekalkan senjata api dan kaedah serta perancangan untuk melawan Jepun, bermula dengan cara gerila dan kemudian pada skala yang lebih besar. Si lahanat British tu “menggunakan” orang Cina, Melayu, Jawa, Bugis dan India untuk menawan kembali Malaya dari Jepun untuk MEREKA. Itulah Merdeka pada mata British.
Sedih teman nak cakap bila mengenangkan ramai orang Melayu yang kebanyakannya masih bodoh ketika itu tidak mahu menyertai perjuangan ini. Kononnya Jepun datang membawa perubahan dan bukan untuk menawan. Dibantunya si Jepun ni, bukannya ditentang. Melayu tak pernah belajar daripada kesilapan tahun 1511 sejak mula dijajah oleh Portugis, diikuti oleh Belanda dan kemudian British. Melayu ini tak pernah terfikir yang datang tu semuanya penjajah. Melayu dulu lebih banyak yang penakut dan bodoh daripada yang berani dan pandai. Kalau diambil kira rakyat Malaya atau Tanah Melayu ketika itu, Portugis, Belanda, British dan Jepun tu boleh dikalahkan dengan mudah kalau mereka semua bersatu. Masalah bermula bila Melayu dah boleh dibeli semenjak dari zaman Portugis lagi. Tapi di zaman Jepun ni, bila mereka sedar ianya dah terlambat.
Mereka ni masih dok sibuk lagi cerita yang dulu depa makan ubi rebus cicah abu pelepah kelapa sebagai makanan ruji. Macam itulah kesusahan yang teramat sangat mereka hadapi ketika perang Jepun dulu. Kalau iya pun lapar sangat dan nak makan sedap, pergi la memburu kat hutan. Tangkap la ayam denak ke, rusa ke, ikan ke, apa ke. Ni tak, balik-balik cerita ubi kayu tu jugak dia cerita kat anak cucu dia. Sampai mampus pun tak maju.
Bilakah orang-orang kita hendak mengiktiraf perjuangan orang-orang yang dalam hutan tu; baik Melayu, Cina, Jawa, Bugis dan India. Mereka ini duduk di tengah-tengah hutan, tidur berlantaikan tanah berbumbungkan langit untuk memerangi Jepun dan mencari kemerdekaan yang sebenar. Mereka tahu apa yang mereka hendak. Mereka tidak mahu British memberitahu mereka jenis kemerdekaan apa yang Malaya boleh dapat. Matlamat mereka adalah untuk merdeka dari penjajahan dan seterusnya merdeka dari pemikiran. Cuma salah si bahalul Chin Peng ni, bila dia rasa macam dah boleh nak menang, dia nak jadikan Malaya sebuah Negara Komunis. Yang tu teman pun tak bersetuju .Maka hala tuju perjuangan Chin Peng dan rakan-rakan yang lain sudah berubah dan berlakulah “Perang Saudara” di bumi Malaya. “Perang Saudara” inilah yang rakyat Malaysia kenali sebagai Zaman Darurat. “Perang Saudara” ini adalah perjuangan di antara ideologi Komunisme yang merdeka dan ideologi Demokratik yang merdeka. Akhirnya Chin Peng tewas dalam perjuangan dia untuk mencari merdeka yang dia cari, kerana merdeka lain yang kita semua hendak.
Maka teman amatlah tidak bersetuju dengan kebanyakan kutu kaki bodek UMNO yang beriya-iya mengatakan Tunku Abdul Rahman ni kononnya adalah Bapa Kemerdekaan Malaysia. (Minta maaf teman ungkit nama Abdul Rahman, kita nak jadikan iktibar). Memang Malaya sudah Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957. Tetapi matlamat perjuangan kita dan UMNO sudah jauh menyimpang dari perjuangan asal. Merdeka apa yang si Abdul ni laungkan 7 kali di Stadium Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957? Merdeka apa yang si Abdul ni laungkan kalau Singapura diberi kepada bangsa lain? Merdeka apa yang si Abdul ni laungkan kalau Melayu letak di kampung dan bangsa lain di bandar? Merdeka apa yang si Abdul ni laungkan kalau kiri kanannya masih ada bangsa lain lebih maju? Merdeka apa yang si Abdul ni laungkan kalau ekonomi bangsa lain yang punya? Merdeka apa yang si Abdul ni laungkan kalau bangsa lain boleh membeli harga diri bangsa Melayu? Merdeka apa yang si Abdul ni dilaungkan kalau bumi yang aku pijak ini milik orang? MERDEKA APA?
Maka kita janganlah lupa tentang orang yang betul-betul memperjuangkan kemerdekaan untuk Malaysia. Cuba tanya budak-budak kat Malaysia ni, siapakah itu Dato Onn Jaafar, sumpah banyak yang tak tahu. Apa itu PKMM? Budak-budak kat Malaysia ni tahu ke? Orang UMNO tahu ke? Tapi bila ditanya Chin Peng tau pulak, budak kutu tepi jalan pun tahu siapa si Chin Peng ni. Itulah masalahnya. Saya belum jumpa lagi ahli UMNO yang bermatian-matian mengaku dia adalah orang kuat UMNO dan berjuang untuk Melayu yang tahu apa itu PKMB. PKMB itulah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, iaitu nama Melayu untuk UMNO. Malang PKMB lebih dikenali dengan nama Orang Putihnya berbanding nama Melayunya sendiri. Dari situ saja kita dah nampak yang kesan penjajahan British masih ada dan memang cuba ditanam daripada awal.
Jadi kita janganlah berkobar-kobar sangat cerita pasal merdeka dan menidakkan atau mengiyakan sesuatu fakta yang kita sendiri pun tak pasti. Jangan jadi Hishamuddin yang bahalul dan seolah-olah lupa siapa pengasas UMNO yang sebenarnya. Orangnya adalah datuk dia sendiri bersama-sama PKMM, bukan orang lain. Janganlah mengutuk sangat si Chin Peng tu lebih-lebih sebab dia pun ada peranan dalam perjuangan untuk kemerdekaan. Janganlah disanjung sangat si Abdul tu, sebab dia bukan buat apa sangat pun. Si Abdul ni sekadar menyambung usaha-usaha pejuang-pejuang di dalam hutan tu dan perjuangan Dato Onn Jaafar sebelum beliau keluar UMNO, pergi ke London dan tandatangan sekeping dua perjanjian; itu sahaja. Tapi malang, merdeka kita adalah sekadar di atas tulisan seperti apa yang British hendak, bukan apa yang kita hendak atau perjuangkan. Kenapa tidak kita pergi cari orang yang berperang secara gerila di dalam hutan dan terus menentang Jepun dan British, pergi cari orang yang berani lari dari projek Jalan Keretapi Maut Burma dan balik ke Malaya untuk berjuang menentang Jepun dan kemudian British, pergi cari orang yang berani masuk penjara dan disiksa kerana berani menentang Jepun dan British. Pergilah cari, kerana mereka ini lah pejuang sebenar dan penghargaan adalah milik mereka.
Jangan disanjung sangat orang yang duduk di rumah orang British petang-petang sambil menghirup teh panas dan berbincang pasal “Merdeka”. Jangan di sanjung orang yang sibuk berfikir projek apa aku boleh dapat dari British selepas “Merdeka”. Jangan disanjung orang yang tau pergi berulang-alik ke London nak berjuang untuk “Merdeka”. Jangan disanjung orang yang suka sangat menempek (Kaki Bodek) di celah-celah pejuang sebenar Kemerdekaan. Ini semua adalah orang yang meletakkan kepentingan peribadi di hadapan berbanding kepentingan Islam, Melayu dan Malaya.
Chin Peng sekurang-kurangnya mempunyai pendirian. Walau pun dia kalah dalam usaha dia untuk mencapai kemerdekaan bersama Parti Komunis, tetapi dia ada matlamat dalam perjuangan. Sebab itu pada teman, dari segi pemikiran dan diri, Chin Peng sudah Merdeka dan masih Merdeka. Chin Peng yang teman tahu semenjak dari kecil adalah Chin Peng Yang Merdeka.
Posted by
at
10:53:43
I have learned a lot from your site. Thanks!!
great capture,beautiful composition with rich colours.